Bee Yin bidas Siti Nurbaya dakwa jerebu dari Sarawak


Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya, tidak sepatutnya menafikan hakikat bahawa jerebu yang melanda Malaysia ketika ini berpunca dari republik itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, yang membidas Siti Nurbaya berkata, data tompok panas dan arah angin daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura, jelas membuktikan Malaysia menjadi mangsa jerebu yang datang dari negara itu.

“Data terkini mengenai jumlah tompok panas oleh ASMC menunjukkan sebanyak 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera berbanding hanya tujuh di Malaysia.

“Berhubung dakwaannya (Siti Nurbaya) kononnya jerebu datang dari Sarawak, lihat arah angin (dalam data ASMC). Bagaimana secara logiknya ia boleh berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Dalam hantaran sama, Bee Yin turut memuat naik beberapa gambar menunjukkan data ASMC yang menunjukkan jumlah tompok panas di Indonesia dan Malaysia, selain aliran angin di kedua-dua negara itu.

Data itu jelas menunjukkan perbezaan ketara jumlah tompok panas antara kedua-dua negara itu, apabila hampir 4,000 di Sumatera dan lebih 9,000 di Kalimantan dicatatkan pada Ogos dan September, berbanding sekitar 500 di Malaysia bagi tempoh sama.

Terdahulu, beberapa media antarabangsa memetik Siti Nurbaya mendakwa, jerebu yang menyelubungi Malaysia ketika ini berasal dari Sarawak dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat.

Siti Nurbaya dilaporkan akan menulis surat kepada kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk disampaikan kepada menteri berkenaan, selain meminta kerjasama kerajaan Malaysia menyampaikan ‘fakta yang tepat’ mengenai jerebu itu. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.