Lokasi sambutan Hari Malaysia ditukar akibat jerebu


Jerebu teruk yang melanda negeri ini khususnya Bandaraya Kuching sejak seminggu lalu memaksa lokasi sambutan Hari Malaysia pada Isnin ini yang sepatutnya diadakan di Padang Merdeka, ditukar ke tempat tertutup.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata berikutan tiada jaminan jerebu akan berakhir sehingga tarikh berkenaan, mesyuarat jawatankuasa pengelola petang semalam, memutuskan sambutan itu diadakan di Stadium Perpaduan di Petra Jaya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya mengambil kira risiko kesihatan yang bakal dihadapi orang ramai yang menghadiri sambutan itu.

“Kita tidak tahu bilakah keadaan berjerebu sekarang akan berakhir dan Kuching pernah mengalami Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 minggu ini serta ratusan tompok panas yang masih dikesan di Kalimantan.

“Selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Meteorologi, Jabatan Alam Sekitar serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, kita sebulat suara mengubah lokasi sambutan ke Stadium Perpaduan yang tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hangar Hornbills Skyways sekembalinya dari Bintulu, hari ini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2019 berkata, persiapan di Padang Merdeka sudah dilaksanakan sejak tiga minggu lalu dengan pemasangan khemah serta pentas sudah 80 peratus siap.

“Memang sukar untuk mengubah venue (lokasi) ketika persiapan rapi sudah dilaksanakan terutamanya persediaan tapak sambutan, tetapi atas faktor kesihatan, kita mesti mengubah lokasi,.

“Bagaimanapun, semua acara yang sudah dirancang akan diteruskan pada sambutan yang bermula pada jam 7 malam itu,” katanya.

Beliau berkata, sambutan itu akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail serta barisan Menteri Kabinet Persekutuan serta negeri.

Antara acara yang akan diadakan adalah paluan 300 dram, ‘shadow play’ dan tetamu kenamaan memukul bedok bersama 170 pemukul gendang.

Memeriahkan lagi sambutan itu, perarakan enam kereta berhias yang bermula dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan melalui Tebingan Kuching sebelum berakhir di ICOM Square. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.