Pak Nasir berlari lagi raikan kemerdekaan negara


Pelari solo, Nasir Abas akan melakukan Larian Merdeka selama 12 hari membabitkan jarak larian sejauh 540 kilometer dari Dataran Alor Setar, di sini menuju ke Shah Alam, Selangor pagi esok.

Mesra dipanggil Pak Nasir, Imam Surau Al Hijrah di Kuala Kedah berusia 64 tahun itu memaklumkan lariannya kali ini ditemani pesara tentera, Krishnan Andy, 61, yang juga edisi ketiga diadakannya bagi meraikan Hari Kebangsaan Ke-62.

“Sejak dua bulan lalu saya membuat persediaan, dengan setiap pagi dan petang saya akan melakukan senaman serta larian di sekitar kawasan berhampiran. Saya berlari purata tiga jam sehari bagi menguatkan stamina sebagai persediaan melakukan larian ini.

“Saya akan memastikan larian kali ini berjalan lancar untuk mencatat sejarah bagi warga emas berlari sambil membawa Jalur Gemilang sebagai membuktikan semangat cintakan tanahair,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nasir berkata, beliau sepatutnya mengambil masa 10 hari untuk tiba di Shah Alam, namun disebabkan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkannya dijangka mengambil masa 12 hari.

“Saya akan menggunakan laluan kampung yang pernah saya lalui sebelum ini dengan menyusuri tiga negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang sebelum tiba di Selangor pada malam 31 Ogos,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tips untuk mengekalkan kesihatannya, beliau berkata, pengambilan ais perlu dikurangkan dan mengamalkan tabiat pemakanan sihat untuk mengekalkan tenaga.

“Seperti larian sebelum ini, saya turut berzikir sepanjang perjalanan, selain mengamalkan bacaan doa supaya dilindungi Allah,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.