Hujan tidak patahkan semangat peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang


Hari kedua pergerakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 di negeri Perak berjalan lancar setakat ini biarpun berhadapan dengan cuaca hujan, kata Ketua Konvoi, Wan Azizah Wan Omar.

Wan Azizah berkata konvoi yang bermula di Kerian diikuti Kuala Kangsar serta Ipoh semalam mengalami sedikit kesukaran akibat hujan, namun ia tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Malah, katanya masyarakat setempat turut memberi sokongan dengan memberi laluan dan melambaikan tangan kepada peserta konvoi di sepanjang perjalanan.

“Setakat ini peserta konvoi masih kental dan bersemangat. Tiada sebarang kejadian atau kemalangan berlaku dan kita mengharapkan perkara ini akan berlanjutan sehingga ke destinasi terakhir nanti.

“Di Perak lokasi terakhir di Teluk Intan esok sebelum bergerak ke Selangor pula,” katanya kepada pemberita pada Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Manjung yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Wan Azizah berkata konvoi yang dilepaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Pahlawan, Melaka pada 3 Ogos lepas itu telah merentasi Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang sebelum ke Perak dengan merangkumi 2,360 kilometer perjalanan.

“Konvoi KMJG akan melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer keseluruhannya, signifikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

“Sebanyak 62 kenderaan termasuk 17 pacuan empat roda, 30 motosikal berkuasa tinggi serta 15 motosikal Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan 133 orang peserta terlibat dalam konvoi ini,” katanya.

Katanya konvoi yang memasuki hari ke-12 itu dengan berada di lokasi ke-36 daripada keseluruhan 62 lokasi persinggahan amat mengutamakan keselamatan terutama tahap kesihatan peserta selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terjamin.

Sementara itu, Mohd Hatta berkata penganjuran konvoi itu merupakan satu usaha untuk menaikkan semangat cintakan negara melalui kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) di bawah satu program.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.