Teresa Kok hargai usaha konvoi semarakkan semangat kemerdekaan


Menteri Industri Utama Teresa Kok menghargai usaha dilakukan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menjelajah seluruh negara, bagi menyemarakkan semangat kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut 31 Ogos ini.

"Bukan usaha yang senang (menunggang motosikal) di bawah panas matahari dan dibasahi hujan, tidak mudah. Kita hormati dan hargai usaha mereka untuk membawa mesej 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' ke setiap pelusuk negara," katanya selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Erwin Khairul Ahmad dan Ketua Konvoi KMJG 2019, Hashim Bedu, ketua-ketua jabatan serta peserta KMJG 2019.

Konvoi kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 selamat tiba di Endah Parade, di sini, iaitu destinasi terakhir bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh kemudiannya melepaskan peserta konvoi itu untuk ke perhentian seterusnya.

Program kembara anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi itu melibatkan 133 peserta dengan 62 kenderaan termasuk 17 pacuan empat roda dan 45 motosikal berkuasa tinggi, menjelajah ke seluruh negara sejauh 6,200 kilometer serta 62 persinggahan, signifikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.