Tangisan iringi paparan nama mangsa MH17
Lebih 50 ahli keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17 berkumpul di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di sini, hari ini bagi memperingati kejadian malang itu pada 17 Julai 2014.
Majlis memperingati tragedi MH17 itu bermula pada jam 8.45 malam dengan ucapan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski dan Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner.
Suasana bertukar sebak apabila dua waris mangsa pesawat MH17, Nur Diyana Yazeera Yazli, 20, dan Patrick Sivagnanam, 54, menyampaikan ucapan mewakili ahli keluarga dan waris mangsa lain yang hadir pada majlis itu.
Nur Diyana Yazeera, anak tunggal Ketua Pramugari MH17, Dora Shahila Kassim, mengimbau kenangan menerima berita kejadian terbabit ketika berusia 15 tahun, dan kini berharap keadilan akan ditegakkan bagi ibunya dan 297 mangsa lain.
Patrick, yang kehilangan abangnya, Paul Rajasingam Sivagnanam, menyifatkan siasatan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) berhubung tragedi MH17 sebagai perkara paling hampir dengan keadilan untuk mereka buat masa ini.
“Pada mereka yang berbeza pandangan dengan hasil siasatan JIT, datanglah pada kami dan tunjukkan penemuan masing-masing,” katanya.
Majlis mencapai kemuncaknya pada jam 9.20 malam, tepat lima tahun selepas tragedi menimpa pesawat malang itu berlaku, dengan beberapa waris mangsa diberi penghormatan menyalakan lilin.
Tangisan hiba waris mangsa mula kedengaran apabila semua nama mangsa yang terbabit dalam insiden itu dipaparkan.
Majlis anjuran Pesuruhjaya Tinggi Australia dan Kedutaan Belanda itu diakhiri dengan ucapan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Syed Nasir Syed Ahmad, dan mesej video daripada Pengerusi Yayasan MH17, Piet Ploeg.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di ruang udara di kawasan timur Ukraine, mengorbankan 298 kru dan penumpang.
Bulan lalu, JIT mendedahkan empat suspek iaitu tiga dari Russia dan seorang dari Ukraine sebagai dalang utama menembak jatuh pesawat malang itu.
Empat suspek terbabit dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko, semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (DNR) ketika kejadian.
Suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda, 9 Mac tahun depan.
Dua hari selepas pendedahan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan Malaysia tetap mahu bukti kukuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014. - HARIAN METRO
Post a Comment