Filem Sangkar babit empat produksi tempatan

FILEM Sangkar yang memaparkan sukan seni bela diri campuran (MMA) sebagai latar cerita menampilkan aksi tidak keterlaluan dan membolehkan ia memperoleh klasifikasi PG13.

Menjelaskan mengenai perkara itu penerbit bersama filem Sangkar juga Pengarah dan Penerbit Eksekutif, Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai berkata, filem terbabit bukan mengetengahkan sukan MMA semata-mata sebaliknya ia menampilkan kisah watak utamanya yang anti hero.

“Ia mengisahkan Adam yang melakukan banyak kesalahan dalam hidup. Sebagai manusia banyak kekurangan. Sangkar memaparkan perjalanan hidup Adam dari seorang manusia yang berperangai buruk menjadi baik.

“Perjalanan kisah hidup Adam ini mewakili dunia realiti di luar sana dan ia sesuai ditonton semua peringkat umur,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Sangkar di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, filem Sangkar akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara serta Brunei dan Singapura pada 29 Ogos ini.

Menurutnya, ia sesuai menjadi bahan tontonan seisi keluarga kerana selain aksi ia turut memaparkan babak lucu, romantis dan kasih sayang antara ahli keluarga.

Sangkar juga mencipta sejarah dalam industri perfileman apabila diterbitkan empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold sendiri, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Kos keseluruhan pembikinan filem Sangkar tidak termasuk promosi mencecah RM3 juta.

Melihat kepada pembabitan empat syarikat dan kos tinggi pastinya keempat-empat produksi mengharapkan filem yang menampilkan Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah sebagai teraju utama mencatat keuntungan besar.

Menjelaskan mengenai perkara itu kata Gayatri, kalau ikut kepada pihaknya andai Sangkar mampu balik modal ia sudah mencukupi.

“Kalau hendak dinilai dari kos sebenarnya ada filem tempatan lain yang kosnya jauh lebih tinggi sehingga mencecah puluhan juta.

“Dinilai dalam keadaan pasaran dan sambutan terhadap filem tempatan ada yang meletakkan angka kutipan RM30 hingga RM40 juta baru filem itu dianggap berjaya dan pecah panggung.

“Tapi sebenarnya kalau hendak diikutkan filem yang berjaya membuat kutipan RM10 juta sudah dianggap berjaya dan pecah panggung. Kami harap filem Sangkar jika boleh membuat kutipan mencecah angka itu,” katanya.

Poster filem dan treler rasmi Sangkar boleh ditonton di laman sosial Astro, Primeworks Studios, Infinitus dan MM2 Entertainment bermula hari ini.
Powered by Blogger.