Lelaki cuba bunuh abang dengan mercun diubah suai
Seorang lelaki berusia 36 tahun cuba membunuh abangnya dengan membaling mercun yang diubah suai di sebuah pasar raya di Taman Patani Jaya di sini semalam.
Cubaan suspek itu bagaimanapun memakan diri apabila mercun yang dinyalakan meletup pada tangannya sendiri sebelum dia sempat membaling ke arah abangnya yang berusia 60 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, suspek cedera pada tangan kanan manakala abangnya yang berada berhampiran cedera pada lengan kiri, kepala dan telinga kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu memberikan komputer kepada adiknya itu.
"Mangsa menunggu di pasar raya tersebut sebelum suspek yang tiba kira-kira sejam kemudian bertindak mengugut mahu membunuh abang kandungnya itu.
"Suspek seterusnya menyalakan mercun yang diubah suai dan cuba membaling ke arah abangnya, bagaimanapun bahan letupan itu meletup ketika masih berada di tangannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, akibat kejadian itu, suspek cedera pada tangan kanan manakala abangnya cedera pada lengan dan telinga kiri serta kepala.
"Suspek dan mangsa kemudian memandu kenderaan masing-masing ke sebuah hospital swasta sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk rawatan lanjut," ujarnya.
Menurut Adzli, suspek didapati mempunyai lapan rekod berkaitan kes dadah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - K! ONLINE
Post a Comment