Aura tiga ratu


KUASA wanita! Itulah gambaran Konsert Minggu Ini: Konsert Ratu 2.0 yang berlangsung Sabtu lalu di Auditorium Perdana Angkasapuri. Menggabungkan tiga figura terkenal dalam industri muzik tanah air iaitu Ziana Zain, Ella dan Siti Nordiana, ternyata auditorium berprestij itu riuh dengan sorakan padu daripada penonton.

Lebih mengejutkan, sambutan konsert kelapan dalam senarai program Konsert Minggu Ini itu sangat luar biasa sehingga ada antara penonton yang terpaksa pulang dengan rasa hampa berikutan tiada ruang untuk duduk.

Sepanjang satu jam setengah, program secara langsung yang dipancarkan melalui saluran TV2 itu menyajikan persembahan terbaik tiga ‘Ratu’ dalam dunia muzik itu.

Persembahan bermula dengan segmen duet menerusi lagu Mulanya di Sini yang mendapat sorakan gemuruh peminat.

Pentas Konsert Ratu 2.0 seterusnya diambil alih Siti Nordiana yang mempersembahkan rangkain lagu popularnya antaranya lagu baru, Hatiku Milikmu serta medley tiga lagu ‘berkasih’ iaitu Gurauan Berkasih, Resipi Berkasih dan Memori Berkasih.

Menariknya, Siti Nordiana yang mesra disapa dengan panggilan Nana itu menyampaikan lagu Memori Berkasih bersama seorang penonton.

Seterusnya, tibalah segmen solo untuk Ziana Zain yang menyajikan lagu-lagu popularnya antaranya Lara, Sangkar Cinta dan Berpisah Jua.

Saat menyampaikan Berpisah Jua, Ziana nyata tersentuh dengan setiap bait kata dalam lagu itu sehingga menitiskan air mata.

Selesai tugasnya, Ziana menyerahkan pentas kepada Ratu Rock Malaysia, Ella yang menghidangkan beberapa lagu popularnya.

Antara lagu yang disampaikan Ella adalah Kitalah Bintang, Layar Impian dan Retak.

Segmen yang paling dinanti-nantikan penonton yang berada di auditorium dan di rumah adalah bertukar-tukar lagu antara satu sama lain.

Siti Nordiana mengejutkan penonton tatkala menyampaikan lagu nyanyian Ella yang berjudul Sepi Sekuntum Mawar Merah. Sementara itu, Ella pula mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan Ziana iaitu Kekal manakala Ziana pula menyampaikan lagu Paling Comel yang pernah dipopularkan Siti Nordiana dan Allahyarham Achik Spin.

Sebagai penutup, ketiga-tiga mereka menghadiahkan satu lagu popular masing-masing. Siti Nordiana hadir dengan lagu Terus Mencintaimu, Ziana dengan lagu Anggapanmu manakala Ella menutup pentas konsert dengan lagu Kesal.

Bagi Siti Nordiana, dia berbesar hati kerana berpeluang berkongsi pentas dengan dua nama besar dalam industri muzik tanah air.

“Ini adalah peluang yang sangat besar kerana saya dapat bergandingan dengan dua penyanyi bertaraf diva.

“Rasa gementar memang tidak disembunyikan. Namun, saya ucapkan terima kasih kepada Kak Ziana dan Kak Ella yang menenangkan saya dengan aura positif mereka,” katanya.

Ziana pula meluahkan rasa terujanya selepas sekian lama tidak muncul di pentas konsert berskala besar sebegini.

“Rasanya, sudah lama juga saya tak buat persembahan di pentas berskala besar seperti Konsert Ratu 2.0 ini. Jadi, sedikit sebanyak saya dapat ubati kerinduan peminat yang ingin menyaksikan persembahan saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia merancang untuk mengadakan konsert solo, Ziana berkata, dia perlukan sedikit masa.

“Saya perlukan masa untuk kuatkan diri terutamanya dari segi mental. Banyak persiapan yang perlu dilakukan. Memang ada pihak yang ingin menganjurkan konsert saya, namun saya perlu fikirkannya terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ella pula menganggap dua gandingannya sebagai pembawa aura positif.

“Kedua-dua mereka sangat positif dan saya sendiri pun dapat merasakan ‘tenaga’ mereka tatkala berada di pentas.

“Lagu paling mencabar buat saya adalah Kekal nyanyian asal Ziana Zain. Namun, kami semua sudah berikan persembahan terbaik dan harapnya penonton gembira dengan persembahan kami,” katanya.

Apa yang pasti, Konsert Ratu 2.0 mendapat sambutan menggalakkan penonton sehingga mendaki carta nombor satu dalam sohor kini di Twitter. - Harian Metro
Powered by Blogger.