KKMM bantu polis siasat video warga emas lakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut membantu pihak polis dalam menyempurnakan siasatan terhadap kandungan video berunsur lucah dengan melakukan forensik melibatkan kanak-kanak di bawah umur dengan melakukan forensik, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.
Beliau berkata pihaknya termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga turut memainkan peranan dengan memeriksa rakaman tersebut bagi menyempurnakan siasatan sebelum pesalah dikenakan tindakan undang-undang.
"Saya percaya kes tersebut telah disiasat oleh pihak polis manakala tugas kami adalah membantu memeriksa dan melakukan forensik ke atas rakaman itu.
"Bagi penyebaran video ini di laman sosial sudah tentu pihak kita akan segera mungkin bertindak menghentikan penyebaran video itu menjadi daripada terus menjadi tular," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pintar Harapan@KPLB 2019 di sini, hari ini.
Pada 9 Julai lepas, polis menahan seorang warga emas yang dipercayai terlibat dalam perbuatan kelucahan melampau ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, seperti yang tular dalam sebuah video di Whatsapp dan Facebook.
Lelaki warga emas itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak berkenaan termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.
Dalam perkembangan lain, Eddin yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata orang Melayu akan menjadi lebih kuat sekiranya bersatu kerana dilihat mempunyai suara sama dalam meletakkan kepentingan dan masa hadapan orang Melayu pada landasan yang betul.
Katanya, ia merupakan satu seruan secara ikhlas oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu orang Melayu bersatu dalam memperjuangkan serta menegakkan agenda orang Melayu pada masa hadapan.
"Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan parti melayu sesuatu yang positif sebab kita mengalakkan orang melayu supaya bersatu dalam apa jua keadaan.
"Ini disebabkan kita percaya apa-apa perkara melibatkan perjuangan masa depan orang Melayu, kita mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu kita mahu perkara yang sama supaya orang Melayu tidak tertinggal dan tercicir dalam arus pembangunan," katanya.
Eddin juga berkata konsep mempelawa ahli parti lain termasuk Umno untuk menyertai Bersatu adalah salah satu daripada pendekatan untuk menyatu padukan orang Melayu namun perlu melihat konteks tersebut secara lebih meluas.
"Ia tidak semestinya kita melihat konteks yang kecil bagi mempelawa ahli parti lain untuk masuk Bersatu dan saya berpandangan perkara tersebut merupakan salah satu pendekatan yang ada.
"Namun lebih dari itu, dalam apa jua keadaan, orang Melayu itu mestilah bersatu dalam mempertahankan hak, nasib dan masa depan orang melayu secara umum. Jadi fahami hasrat Tun Mahathir itu secara terbuka," katanya.
-- BERNAMA

Post a Comment