Pengusaha cendawan Volvariella raih pendapatan lumayan


Dengan bermodalkan tidak lebih RM50 untuk setiap satu medium tanaman berukuran 4.5 meter pengusaha cendawan Volvariella di Sungai Kob di sini kini mampu meraih keuntungan berkali ganda setiap bulan sebagai pendapatan sampingan mereka.

Penaung Persatuan Penanam Cendawan Volvariella Sungai Kob di sini Ahmad Zaki Sabawehi berkata cendawan itu diusahakan seramai 12 anggota persatuan sejak sebulan lepas dengan modal serendah RM50.

"Pihak persatuan berkongsi mendapatkan tandan sawit yang dibeli dari ladang berdekatan dengan harga RM10 untuk satu tan metrik yang dijadikan medium tanaman dalam bentuk batas, berkongsi benih serta kepakaran untuk mengusahakan tanaman ini mampu meminima modal peserta tanaman," katanya kepada Bernama pada Program Pelancaran Projek Cendawan Volvariella di sungai Kob hari ini.

Beliau berkata sekurang-kurangnya setiap peserta projek tanaman cendawan Volvariella ini mampu memperolehi satu hingga tiga kilogram setiap hari dari satu tapak medium tanaman.

"Jika seorang peserta mempunyai lima hingga 10 batas, setiap hari sudah cukup untuk mereka menampung duit belanja harian, kerana harga jualan cendawan ini antara RM12 hingga RM15 sekilogram," katanya.

Katanya persatuan juga akan membuka peluang kepada penduduk yang berminat menyertai program tanaman cendawan itu dalam usaha memenuhi permintaan syarikat besar seperti kilang membuat kopi.

"Sudah ada kilang kopi yang mahukan bekalan cendawan ini, tapi kami masih tidak mampu menampung permintaan mereka dalam kuantiti yang banyak setakat ini, usaha ke arah itu akan diteruskan," katanya.

Selain itu, beliau berkata cendawan berkenaan di sini juga ditanam secara organik tanpa menggunakan baja dan racun kimia untuk proses penjagaannya.

"Cendawan ini hanya bergantung kepada nutrien dari tandan kelapa sawit yang diperam selama tujuh hari selepas disiram air, kemudia ia akan disemai benih dalam tempoh 30 hari sebelum dapat dituai hasilnya setiap hari selama kira-kira 60 hari," katanya.

Sementara itu, peserta program yang juga pemandu lori, Yusoff Shapie, 53, berkata sejak mula mengusahakan cendawan itu sebulan lalu, beliau mula melihat potensi tanaman itu yang mampu memberi pulangan lumayan.

"Pada mulanya saya buat tanaman ini secara suka-suka sahaja dengan dua hingga tiga batas sahaja. Tetapi lepas sebulan 25 hari saya lihat ia membuahkan hasil, cendawan hidup segar.

"Malah tempahan untuk cendawan ini sudah mula masuk, walaupun daripada orang kampung dan rakan-rakan saya sudah tidak mampu memenuhi permintaan bagi skala komersial yang besar," katanya.

Yusoff berkata sehingga kini beliau berjaya mengusahakan kira-kira 25 batas cendawan Volvariella di atas tanah seluas 0.1 hektar di kebun getah miliknya.

"Penjagaannya juga sangat mudah, tidak perlu dibaja hanya perlu disiram setiap hari namun bergantung kepada cuaca, jika hujan ia tidak perlu disiram lagi," katanya.

Katanya setiap hari beliau akan menuai cendawan Volvariella itu sebanyak dua kali iaitu ketika waktu pagi dan petang.

"Setakat ini kira-kira 10 batas yang boleh dituai, dan setiap hari saya mampu mendapat pulangan RM240 hingga RM300 ia sangat lumayan," katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.