Wee Wern, Nafiizwan ketuai cabaran Malaysia di pusingan ketiga


Malaysia memulakan penyertaan di Kejohanan Skuasy Indvidu Asia ke-20 dengan cemerlang apabila sembilan pemain di ketuai pilihan ke-4 kejohanan, Low Wee Wern berjaya ke pusingan ketiga di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

We Wern yang juga bekas pemain nombor lima dunia, mengalahkan rakan senegara Chan Yiwen 11-5, 11-8, 11-1 dalam masa 26 minit untuk menempah perlawanan bertemu Sunayna Kuruvilla dari India, esok.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, S.Sivasangari pula tanpa belas ehsan membelasah Pranghatai Phongrattana (Thailand) 11-1, 11-1, 11-1, akan bertemu Juara Terbuka Remaja British tahun lepas, Aifa Azman yang layak selepas mengalahkan Fereshteh Egtedari (Iran) 11-2, 11-7, 11-7.

Rachael Arnold dan Lai Wen Li juga layak ke pusingan ketiga, selepas masing-masing mengalahkan Naduni Gunawardane (Sri Langka) 11-2, 11-4, 11-3 dan pemain jepun Risa Sugimoto 8-11, 11-5, 11-7, 11-7.

Kategori lelaki pula menyaksikan Mohd Nafiizwan Adnan yang diletak sebagai pemain pilihan ke-6 kejohanan akan bertemu pemain Filipina Robert Andrew Garcia pada pusingan ketiga selepas mengalahkan Arhant Simba (Nepal) 11-2, 11-4, 11-3.

Pemain ranking ke-36 dunia dan pilihan ketujuh, Ng Eain Yow yang mengalahkan Chen Wun Lin 11-0, 11-3, 11-2 dalam masa 20 minit pula, akan bertemu Ammar Al Tamini dari Kuwait.

Manakala Mohd Syafiq Kamal, akan berhadapan pemain pilihan kedua Yip Tsz Fung dari Hong Kong selepas mengalahkan pemain Korea Selatan Lee Se Hyun 11-9,11-7, 11-4, manakala Yuen Chee Wern akan berhadapan Endo Tomotaka (Jepun) selepas mengalahkan Ko Young Jo (Korea Selatan) 11-2, 2-11, 11-3, 11-8.

Sementara itu Mohd Adden Idrakie dan Ong Sai Hung gagal mara ke pusingan ketiga selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Beberapa pemain terbaik Asia, termasuk pemain nombor 10 dunia, Sauraj Ghosal (India) dan pemain wanita nombor 11 dunia Annie Au (Hong Kong), turut menyertai kejohanan lima hari yang bermula hari ini. - BERNAMA
Powered by Blogger.