Kerajaan usaha kurangkan kos sara hidup, wujudkan pekerjaan


Kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup dan isu jaminan pekerjaan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Mengesahkan kerja-kerja yang perlu dilakukan telah bermula, beliau berkata, "Kami berharap kami dapat melaksanakannya mungkin dalam belanjawan akan datang (Belanjawan 2020). Oleh itu, barulah kami akan dapat mewujudkan pekerjaan, terutamanya untuk graduan yang belum mendapat pekerjaan. Ini merupakan sesuatu yang kerajaan terdahulu tidak pernah beri tumpuan.

“Saya mahu menumpukan kepada rakyat Malaysia biasa, tidak banyak kepada projek mega. Saya sudah bosan dengan 1Malaysia Development Bhd (kemelut)," katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih di sini baru-baru ini.

Menurut Buletin Jabatan Perangkaan bagi Januari 2019, pengangguran merupakan antara isu yang masih melanda negara dengan kadar pengangguran secara keseluruhan tidak berubah sebanyak 3.3 peratus.

Pada Mac tahun ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata kadar pengangguran dalam kalangan graduan meningkat kepada 158,000 sehingga akhir 2018 daripada 137,400 pada akhir 2017.

Lim berkata walaupun ia tidak didedahkan dalam Belanjawan 2019, bantuan kos sara hidup untuk golongan bujang dan nelayan telah diagihkan daripada dana tambahan yang diperoleh daripada penjimatan yang dibuat oleh kerajaan.

"Saya ada menyebut dalam ucapan penggulungan belanjawan bahawa jika kita mempunyai cara, jika terdapat sumber yang diharap kita dapat bantu, kami akan memperluaskan bantuan tersebut," katanya.

Lim berkata jumlah tambahan sebanyak RM3.5 bilion telah diberikan semula kepada rakyat selepas Belanjawan 2019 dibentangkan.

Ditanya perbezaan antara sebagai Menteri Kewangan dan jawatan beliau sebelum ini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim berkata: "Lihat kepada belanjawan. Belanjawan Pulau Pinang sekitar RM900 juta, manakala belanjawan kerajaan Persekutuan sebanyak RM315 bilion." 

Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbangkan desentralisasi belanjawan Persekutuan kepada negeri, beliau menegaskan keperluan untuk memastikan kewangan negara dalam keadaan baik sebelum memulakan proses tersebut.

Pada masa ini, perbelanjaan negeri ditentukan melalui peruntukan fiskal daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, dan jumlah yang diberikan bergantung kepada pertimbangan politik. Kerajaan negeri diberi kuasa untuk merancang dan melaksanakan strategi pembangunan mereka sendiri.

Lim berkata kerajaan komited untuk menumpukan kepada ekonomi, selain mengukuhkan kedudukan fiskal dan kewangan, sebelum menyokong dan menggesa kepada desentralisasi.

"Secara peribadi, saya penyokong kepada desentralisasi; tetapi jangan bercakap mengenai desentralisasi apabila tidak mempunyai dana dan kita mempunyai banyak hutang yang perlu dibayar. Oleh itu, desentralisasi apa yang ingin dikatakan” katanya.

Lim berkata tidak wajar untuk keputusan tertentu dibuat oleh “orang yang ribuan batu jauhnya di Putrajaya.”

Menyatakan sekolah sebagai contoh, katanya: “Penduduk tempatan mengetahui mengenai keadaan sekolah (di kawasan mereka), jenis kualiti pendidikan. Oleh itu, tidak bolehkah mereka yang memberikan maklumat berbanding semuanya diputuskan oleh pejabat yang terletak 1,000 batu jauhnya, (mereka yang) tidak pernah turun padang untuk melihat keadaan sebenar” -- BERNAMA

Powered by Blogger.