Perokok Dakwa Keliru Jarak Tiga Meter


Perokok yang ditemui di kedai makan sekitar ibu negara mendakwa mereka masih tidak jelas dengan ketetapan larangan merokok pada jarak tiga meter dari premis.
Ini kerana mereka mendakwa adalah tidak menjadi kesalahan jika merokok di kerusi meja yang diletakkan pada jarak lebih tiga meter dari kedai makan seperti di kawasan parkir di seberang jalan.
Sehubungan itu, ketika tinjauan BH, perokok yang ditemui mengharapkan tafsiran lebih jelas bahawa larangan merokok hanya terpakai dalam premis kedai makan dan tidak membabitkan kawasan di kaki lima atau kerusi meja yang diletakkan pada jarak lebih tiga meter di luar premis.
Perokok juga mendakwa papan tanda larangan merokok hanya berada dalam premis dan tiada langsung membabitkan pelanggan yang duduk di meja tambahan seperti kaki lima dan kawasan parkir.
Penuntut sebuah universiti awam, Muhammad Amirul Solihin Zulkifli, 25, berharap pihak yang bertanggungjawab dapat memberi penjelasan mengenai jarak yang ditetapkan, bagi mengelak perokok dikenakan kompaun kerana syarat selama ini menyatakan jarak larangan ialah tiga meter dari premis.
Amirul Solihin berkata, ramai pelanggan menganggap penyediaan meja dan kerusi di luar kedai, khususnya di tembok jalan adalah bertujuan membolehkan pelanggan merokok.
“Kadang-kadang saya dan rakan-rakan sengaja duduk di meja luar kedai, sebab lihat ramai yang hisap rokok di kawasan itu. Tanda dilarang merokok juga tiada di sini,” katanya.
Kakitangan swasta, Razali Musa, 48, juga mengakui tidak begitu jelas mengenai jarak tiga meter yang ditetapkan, sehingga menyebabkan kekeliruan.
“Sekiranya tidak dibenarkan merokok dalam premis, mungkin boleh adakan ruang khusus kepada perokok, seperti yang dibuat di negara jiran. Mereka juga boleh menyediakan penanda seperti ‘garisan kuning’ sebagai had atau sempadan bagi kawasan merokok.
“Cadangan saya, sekiranya mahu hentikan isu merokok di kedai makan, pengusaha sepatutnya tidak dibenarkan mempamer dan menjual di kaunter bayaran kerana akan mengelirukan pelanggan, seolah-oleh mereka boleh merokok di situ,” katanya.
Bagi jurutera, Wan Mohd Amir Wan Alias, 35, pula masih ada restoran yang tidak memaparkan larangan merokok di premis mereka hingga kini.
Ada kedai yang masih tidak peka dengan arahan kerajaan dengan tidak memasang notis larangan merokok. Kalau ada pun terlalu kecil dan hanya dapat dilihat oleh pelanggan yang berada di dalam sahaja, tidak termasuk pelanggan di luar kedai.
“Setahu saya, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan boleh didakwa di mahkamah.
“Mungkin pemilik kedai boleh meletakkan lebih banyak notis yang jelas di tiang lampu luar kedai ataupun menampal pelekat larangan merokok di setiap meja,” katanya.
Sementara itu, pengurus restoran, Badiul Alam, 29, berkata pelanggan sepatutnya tidak lagi boleh mendakwa mereka tidak tahu notis larangan merokok, kerana pelekat larangan merokok turut ditampal di meja di luar kawasan kedai.
“Setakat ini pelanggan sudah akur dengan penguatkuasaan terbabit dan tidak lagi merokok di kawasan kedai ini.
“Sekiranya mereka masih mahu merokok, kami akan menyuruh mereka untuk berhenti atau merokok di kawasan lain. Sekiranya mereka degil, kami akan menunjukkan rakaman CCTV sebagai bahan bukti sekiranya diminta pihak berkuasa,” katanya. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.