Timbalan Menteri KKMM puji usaha RTM tambahbaik kandungan program


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith hari ini memuji usaha Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang banyak melakukan penambahbaikan dan kemajuan terhadap kandungan programnya sejak terbentuknya kerajaan baharu, tahun lepas.

Menyifatkan ia langkah baik untuk kesejahteraan masyarakat, Eddin Syazlee berkata penambahbaikan itu dibuat oleh RTM setelah menerima pelbagai pandangan mengenai perkhidmatannya sebelum ini.

“Dalam tempoh sesingkat itu telah begitu banyak penambahbaikan dan kemajuan dibuat oleh RTM. Ini menunjukkan bahawa RTM sentiasa mengamalkan keterbukaan yang sangat positif di atas kritikan-kritikan (pandangan) yang membina,” katanya.

Eddin Syazlee berkata, selain itu, ia membuktikan RTM sentiasa mendengar keluhan rakyat dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang diinginkan oleh rakyat.

Ini selari dengan kehendak kerajaan yang menginginkan setiap kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya, memberikan yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat, tambahnya.

Eddie Syazlee berkata demikian pada majlis pelancaran Jelajah Ramadan RTM edisi ke-lapan di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Abdul Muis Shefii; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Nor Yahati Awang; Pengarah Program Radio, Norba’iyah Baharudin dan Pengarah Penyiaran Johor, Md Sahri Saripan.

Jelajah yang bermula hari ini dan berakhir pada 28 Mei itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan 33 stesen radio RTM di 25 kawasan termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Abdul Muis, sepanjang program itu, pelbagai aktiviti dirancang termasuk solat berjemaah, tazkirah, tadarus Al-Quran, gotong-royong, berbuka puasa dan bersahur bersama masyarakat setempat. -- BERNAMA
Powered by Blogger.