Akses sama rata bagi makanan kaya dengan nutrien


Cabaran yang dihadapi oleh negara ini masa kini ialah memastikan rakyat Malaysia dari semua peringkat mendapat akses sama rata kepada makanan yang kaya dengan nutrien atau zat makanan terutama pengguna dari isi rumah berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata ini kerana makanan yang paling murah dan mudah didapati adalah makanan yang berkalori dan makanan segera yang boleh menyebabkan berat badan berlebihan dan obesiti.

Meningkatkan penggunaan makanan yang kaya dengan nutrien adalah salah satu cara untuk menangani masalah kekurangan zat makanan dan obesiti, katanya kepada pemberita di sini hari ini

Beliau berkata kajian menunjukkan bagaimana mengambil makanan berkhasiat mempunyai kaitan dengan pengurangan risiko mengambil makan secara berlebihan dan menghidap penyakit seperti diabetes.

Isnaraissah Munirah berkata Malaysia memerlukan lebih banyak intervensi mengenai pengambilan makanan kerana separuh daripada jumlah penduduk negara ini didapati menghadapi masalah berat badan berlebihan atau obesiti, menyebabkan kos penjagaan kesihatan tertinggi di rantau ini.

Usaha telah dilakukan untuk meningkatkan kepelbagaian tanaman melalui "superfood" contohnya beri, kubis daun, “quinoa” dan “chiaseed” tetapi pengeluarannya didapati tidak berskala di negara-negara membangun, katanya.

"Superfood memperkenalkan makanan baharu dalam diet makanan tetapi ia adalah pendekatan elit. Makanan itu terlalu mahal dan tidak mampu untuk dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah, " kata beliau. - BERNAMA
Powered by Blogger.