Yayasan AIDS Malaysia, Berjaya Corp lancar skim bantu wanita hidap HIV
Yayasan AIDS Malaysia (MAF) bersama Berjaya Corporation Berhad telah melancarkan Skim Bantuan MyLady Yayasan AIDS Malaysia-Berjaya untuk membantu wanita yang menghidap HIV memulakan perniagaan sendiri bagi meneruskan kehidupan.
Pengarah eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Nerine Tan berkata melalui inisiatif itu, mereka akan dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Berjaya berbangga menjadi penaja skim ini dengan jumlah sebanyak RM135,000. Ini termasuk pembiayaan sebanyak RM100,000, yang akan digunakan untuk membantu sehingga 20 wanita memulakan perniagaan dengan menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM10,000.
"Kami berkongsi kepercayaan dengan MAF bahawa memperkasakan wanita dengan kemahiran vokasional dan pembinaan kapasiti akan membantu mereka untuk berdikari dan meningkatkan sumber pendapatan mereka," katanya dalam ucapan pada pelancaran skim ini selepas “30 Years of HIV/AIDS In Malaysia: Stigma, Science and Shared Responsibility Forum” di sini, hari ini.
Turut hadir Penaung MAF, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengerusi MAF, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Marina dan Dr Adeeba menjadi ahli panel dalam forum selama satu jam itu.
-- BERNAMA
Post a Comment