TH akan lunas bayaran hibah - PM


Bayaran hibah bagi 2018 kepada 9.3 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibayar dalam tempoh terdekat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pembayaran berkenaan antara dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, esok dan TH kemudian akan membuat pengumuman mengenainya.

"Mesyuarat Jemaah Menteri esok akan membincangkan secara terperinci pelan kedudukan kewangan dan pemulihan semula TH dan perkara berkaitannya, termasuk perkara berhubung kemampuan TH membayar hibah.

"TH akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat selepas Jemaah Menteri membuat keputusan mengenainya," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tarikh TH mengumumkan bayaran hibah (dividen) kepada 9.3 juta pendepositnya.

Dr Mahathir berkata, seperti diketahui umum banyak kecurian dilakukan pengurusan terdahulu yang menyebabkan agensi itu mengalami kerugian besar.

Beliau berkata, perkara itu turut menjejaskan usaha agensi itu untuk memberikan pulangan kepada pendeposit.

"Ramai sudah tahu berkaitan pembelian bermacam-macam harta pada harga tinggi dari pasaran dan kerajaan akan menelitinya dan akan turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet," katanya.

Mengenai Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang didakwa tidak memberikan pulangan kepada TH, beliau berkata perkara itu akan dijelaskan selepas Kabinet membuat keputusan mengenainya. - Berita Harian
Powered by Blogger.