3 komponen utama pastikan kejayaan Malaysia Inc


Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan tiga komponen utama dalam memastikan kejayaan konsep Malaysia Incorporated (Malaysia Inc) yang membabitkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Perdana Menteri berkata, Malaysia Inc yang diperkenalkan olehnya pada tahun 1981 berjaya menyatukan kedua-dua sektor berkenaan yang sebelum ini bekerja secara silo.

Beliau berkata, bagi komponen pertama, kedua-dua sektor awam dan swasta perlu bekerja bersama bagi mencapai sasaran yang sama iaitu pertumbuhan, pembangunan dan kemakmuran Malaysia.

Katanya, kedua-dua pihak perlu menekankan sikap saling bekerjasama, percaya dan memahami antara satu sama lain serta tidak melihat diri masing-masing sebagai pesaing.

“Yang kedua, sektor awam dan swasta mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan keperluan sosial dan kebajikan pekerja yakni rakyat Malaysia dipelihara.

“Malaysia Inc tidak bermaksud memaksimumkan keuntungan dengan mengabaikan semua perkara lain. Hak dan keistimewaan pemegang taruh negara ini iaitu rakyat Malaysia perlu dilindungi.

“Yang terakhir, bagi memastikan kerjasama antara sektor awam dan swasta dibuat atas semangat kepercayaan, perlunya komunikasi yang berterusan dan terbuka di antara kedua-dua pihak.

“Pihak swasta dijemput untuk menyampaikan pandangan mereka dalam sesi perbincangan mengenai dasar perniagaan dengan pembuat dasar dan peniaga menjadi lebih senada dengan pelan dan sasaran ekonomi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup Forum CEO 2019 Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Koridor Super Multimedia (MSC), Dr Mahathir berkata, ia diwujudkan bagi menggalakkan perkembangan industri teknologi di Malaysia dengan ideanya untuk menjadikan negara sebagai pengeksport teknologi.

Katanya, Malaysia mungkin tidak mempunyai syarikat yang setaraf seperti Google atau Microsoft, tetapi sejak itu, MSC sudah membantu banyak firma teknologi Malaysia untuk berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Firma itu termasuk Fusionex, Sedania, iFlix dan Les’ Copaque yang mana adalah pencipta kartun popular, Upin & Ipin. Malah, ramai juga rakyat Malaysia diambil bekerja oleh syarikat seperti Google, Pixar dan Apple.

“Sejak ditubuhkan pada 1996, MSC menjana lebih RM47 bilion dalam pendapatan daripada lebih 3,000 syarikat dan mewujudkan lebih 160,000 pekerjaan dan peluang untuk pertumbuhan kekal, dipacu ekonomi digital tanpa batasan,” katanya. - Berita Harian

Powered by Blogger.