Menteri, rakyat Malaysia diseru bantu kempen pertahan industri sawit di luar negara


Rakyat Malaysia di pelbagai peringkat, khususnya menteri kabinet dan anggota Parlimen, disaran membantu mempertahankan industri minyak sawit dan mengkritik usaha mendiskriminasi komoditi itu apabila berada di luar negara.

Menteri Industri Utama Teresa Kok ketika mencadangkan perkara itu berkata tindakan proaktif itu perlu bagi membantu menyampaikan maklumat tepat kepada pihak luar termasuk di Eropah yang mempunyai pandangan negatif terhadap industri itu dengan mengatakan ia merosakkan alam sekitar dan tidak sihat.

“Saya rasa tidak boleh satu kementerian sahaja melawan kempen dari seluruh Eropah dan negara barat yang begitu anti kepada minyak sawit kerana isu penyahhutanan dan kesihatan.

“Maka semua menteri apabila pergi ke luar negara, bila berucap dalam forum antarabangsa, mestilah pertahankan industri minyak sawit dan mengkritik usaha yang mendiskriminasi industri sawit kita,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Senator Alan Ling Sie Kiong yang ingin tahu usaha dan pencapaian menentang dasar Kesatuan Eropah ke atas sekatan tidak adil terhadap minyak sawit keluaran tempatan.

Menurut Kok, program Sayangi Minyak Sawitku yang dilancarkan Januari lalu bertujuan memberi seluruh rakyat Malaysia maklumat tepat mengenai industri itu sekali gus boleh menjawab sebarang tuduhan berbentuk diskriminasi.

“Seluruh rakyat Malaysia dan ahli-ahli yang berhormat di dewan ini (Dewan Negara) dan Dewan Rakyat tanpa mengira parti perlu bekerjasama jayakan kempen ini…kita harap menerusi kempen ini pada masa depan rakyat Malaysia akan menyayangi minyak sawit dan mempertahankan minyak sawit kita,” katanya.

Mengenai biodiesel, Kok berkata kementeriannya setakat ini tidak menerima sebarang aduan negatif selepas penggunaaan biodiesel B10 (adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum) bagi sektor pengangkutan dilaksanakan dan sedang merancang penggunaan biodiesel B20 tahun hadapan.

Tambahnya, biodiesel B7 bagi sektor industri pula akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

“Penggunaan biodiesel akan membolehkan lebih banyak minyak sawit digunakan sekali gus boleh membantu pekebun kecil kita,” katanya.  -- BERNAMA
Powered by Blogger.