Dr Wan Azizah lawat kebun kelulut komuniti Putrajaya
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melawat program penternakan madu kelulut yang diusahakan komuniti Presint 9 di sini, di bawah Program Pertanian Bandar Putrajaya.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, meluangkan masa kira-kira sejam menyaksikan demonstrasi tuai madu kelulut, selain meninjau kebun buah ‘rock melon’ sambil beramah mesra dengan komuniti pertanian bandar itu.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini, lawatan itu diatur bagi membolehkan Dr Wan Azizah melihat sendiri penternakan madu kelulut memandangkan beliau seringkali menjadikan produk itu sebagai cenderahati kepada ketua-ketua negara dan delegasi asing.
Inisiatif itu merupakan usaha untuk mempromosikan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa, katanya.
Program Pertanian Bandar Putrajaya adalah program berasaskan komuniti yang pernah memenangi beberapa Anugerah Kejiranan Hijau di peringkat nasional. Ia juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu ‘Livable Community Awards 2012 Al Ain Abu Dhabi,’ bagi kategori ‘Community Garden’. -- BERNAMA
Post a Comment