Masyarakat perlu bekerjasama basmi denggi - Zuraida
Langkah membasmi denggi yang kini giat dijalankan melalui Kempen Gotong Royong Perdana Basmi Denggi antara inti pati Dasar Kebersihan Negara yang dijangka siap Jun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata dasar itu antara lain menetapkan langkah pembersihan, pembuangan sampah dan isu berkaitan dengan denggi.
Katanya, kerajaan memandang serius isu denggi tetapi pembasmian wabak di peringkat komuniti bergantung sepenuhnya daripada kerjasama penduduk setempat
“Saya seru masyarakat untuk bantu saya bersama-sama memastikan komuniti kita bebas daripada denggi. Pembasmian denggi ini bukan kerja kementerian saja tetapi semua pihak dan ini tanggungjawab kita semua, jalankan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Gotong Royong Perdana Basmi Denggi sempena Karnival Komuniti kementeriannya di sini, hari ini.
Lapan kawasan serentak melaksanakan Gotong Royong Basmi Denggi ialah Ampang Jaya, Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Selayang dan Kajang.
Selangor adalah negeri paling tinggi mencatatkan kes denggi, iaitu hampir separuh daripada kes denggi di negara ini dicatatkan di negeri itu.
Tahun ini, sebanyak 23,211 kes denggi dicatatkan di Selangor berbanding 39,605 kes di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 12 April lalu.
Pemilihan Ampang Jaya khususnya di Pangsapuri Ampang Mewah sebagai lokasi pelancaran dibuat kerana ia antara kawasan ‘panas’ yang disenaraikan Kementerian Kesihatan dalam kes denggi
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Ampang perlu bebas daripada denggi kerana menurut statistik, kawasan itu paling tinggi merekodkan kes denggi di Selangor.
“Saya minta semua masyarakat di sini bantu saya bersama-sama memastikan Ampang bebas daripada denggi dalam masa terdekat,” katanya.
Post a Comment