Kereta Ahli MBS Disimbah Cat, Rumah Dibaling Bangkai Ayam


Kereta ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS), K Senthivelu, disimbah cat merah manakala rumahnya di Taman Desa Cempaka 3, di sini, malam tadi, dicampak bangkai ayam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata kejadian jam 11.15 malam itu disedari mangsa selepas dihubungi jirannya yang terbau minyak sebaik pulang ke rumah.
“Ketika kejadian, mangsa bersama keluarga sedang tidur dan tidak mendengar apa-apa.
“Jirannya yang baru sampai rumah terbau seperti minyak dari rumah mangsa, lalu menghubunginya untuk memaklumkan perkara itu.
“Mangsa kemudian keluar dari rumahnya dan mendapati terdapat kesan cat merah pada kereta, motosikal dan lantai pekarangan rumahnya selain menemui seekor bangkai ayam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Susulan kejadian itu, Marzukee berkata, mangsa membuat laporan polis kerana bimbang atas keselamatannya sekeluarga.
“Suspek dipercayai membaling cat berwarna merah dicampur bersama thinner dari luar rumah mangsa menyebabkan kerugian hampir RM8,000.
“Tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan tiada saksi ketika kejadian. Kes masih disiasat polis untuk mengesan pelaku,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan terhadap seorang ahli MBS yang didakwa memuat naik gambar menghina penceramah, Dr Zakir Naik di Facebook pada 4 Januari lalu.
Ia susulan lima laporan polis yang dibuat pelbagai pihak berkaitan status itu yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam. - BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.