KPM puas hati pencapaian atlet murid
Kementerian Pelajaran (KPM) amat berpuas hati dengan kecemerlangan yang dipamerkan atlet murid dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang 2018, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata sumbangan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) amat signifikan dalam mencungkil bakat atlet murid untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Kementerian amat berbangga dengan kualiti yang dipamerkan oleh atlet murid sehingga dapat menjulang nama negara di arena antarabangsa," katanya pada majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2018 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.
Antara kejayaan atlet murid ialah penglibatan 38 atlet murid mewakili negara dalam Sukan Asia di Palembang, Indonesia, di mana ada diantaranya berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa, katanya.
Atlet murid turut memenangi pingat emas dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Remaja di Argentina selain memperoleh pingat emas dalam acara hoki di mana lapan daripada pemain merupakan atlet murid, katanya.
Malaysia yang diwakili atlet murid MSSM turut mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-10 apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 37 pingat emas, 34 perak dan 32 gangsa.
Pada majlis itu, atlet muda sensasi skuasy negara, Aifa Azman dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas, iaitu anugerah tertinggi dipertandingkan pada majlis tersebut. -- BERNAMA
Post a Comment