Kerajaan pusat bantu Orang Asli di Rompin ke arah kehidupan lebih selesa
Kerajaan pusat berusaha untuk membantu masyarakat Orang Asli di sini ke arah memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata ini termasuk usaha mewartakan Kampung Bukit Biru di sini sebagai perkampungan Orang Asli bagi suku Jakun yang membuka penempatan tersebut.
Beliau berkata soal tanah merupakan permasalahan utama yang disuarakan penduduk di situ, pada dialognya bersama mereka di perkampungan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Muadzam Shah di sini.
"Penduduk datang ke sini untuk mencari pendapatan dengan mencari barang yang boleh dikitar semula di tapak pelupusan sampah Bandar Muadzam Shah berhampiran dan mereka minta supaya kampung ini dikekalkan dan diwartakan.
"Kami sudah berbincang dengan pegawai daerah untuk menyemak status tanah ini dan jika tiada pertindihan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) boleh membuat permohonan untuk mewartakan tanah ini kerana isu tanah terletak di bawah kerajaan negeri," katanya pada sidang media di kampung itu di sini hari ini.
Waytha Moorthy berkata pewartaan kampung itu juga kelak dapat membantu mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air dan elektrik dan menambah sebagai penyelesaian sementara, Jakoa akan meletakkan tangki dan menghantar bekalan air bersih setiap minggu.
Selain itu, beliau berkata perbincangan lanjut akan dilakukan untuk mendapatkan syarikat yang boleh membantu memasang solar di kawasan itu sementara penyelesaian kekal terhadap bekalan elektrik boleh dilakukan, selepas proses pewartaan kampung selesai.
Beliau berkata penduduk yang mencari pendapatan tambahan dengan mencari bahan kitar semula di tapak pelupusan itu juga dilarang meneruskan kegiatan itu atas faktor risiko kesihatan.
"Sebagai alternatif, kami mencadangkan dan akan membantu mereka melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi yang boleh memberi pendapatan lebih baik dan selamat seperti bidang pertanian,” katanya.
Menteri itu berkata perbincangan juga akan dibuat untuk membolehkan sebilangan penduduk di situ diserapkan sebagai pekerja di tapak pelupusan sampah.
Jakoa juga, menurut Waytha Moorthy, akan membantu anak-anak penduduk di situ yang tidak bersekolah untuk mendapat pendidikan, termasuk menyediakan pengangkutan bagi mereka.
Penduduk Jamida Calong, 52, yang menghadiri dialog itu berharap isu pewartaan tanah di situ untuk dijadikan penempatan Orang Asli dapat diselesaikan dengan segera.
"Saya antara yang terawal duduk di sini, sudah lebih 10 tahun. Kami mudah kerana kawasan ini terletak berhampiran jalan besar selain rumah sudah siap dibina dan dekat juga jika mahu ke bandar," katanya yang ditemui selepas dialog tersebut.
Rasa Lian, 31, pula berharap pewartaan tanah itu dapat membolehkan mereka menikmati kemudahan asas yang lebih baik seperti yang dinikmati penempatan Orang Asli di kawasan lain.
Beliau yang bekerja mencari hasil hutan berkata dia berminat dengan tawaran kerja baharu yang ditawarkan kerajaan dalam bidang pertanian, namun berharap untuk mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai perkara itu.
-- BERNAMA
Post a Comment