Arsenik: LRA Ayer Ganda ditutup sejak Selasa

Lembaga Air Perak (LAP) telah memberhentikan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik pada pukul 6 petang, Selasa lalu, susulan penemuan sisa arsenik, sejenis logam berat dalam sampel air Sungai Rui di Hulu Perak baru-baru ini.

LAP, dalam kenyaraan malam ini, berkata pemberhentian serta merta operasi LRA itu dibuat sebagaimana arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada hari yang sama.

Susulan pemberhentian operasi LRA Ayer Ganda , pihak LAP akan membekalkan air terawat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Ayer Ganda melalui lori tangki dan tangki statik.

"Untuk tempoh jangka masa panjang, LAP akan membina paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak untuk menyalurkan air terawat daripada LRA Lawin ke Kampung Ayer Ganda," menurut kenyataan itu.

Ia berkata pihak LAP sentiasa memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna selamat digunakan dan akur dengan keputusan SPAN supaya operasi LRA Ayer Ganda ditutup.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di LRA Ayer Ganda menunjukkan paras arsenik adalah rendah iaitu 0.01 miligram untuk setiap liter dan ia di bawah piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, dalam satu sidang media di ibu negara hari ini, menyatakan kekesalan pihaknya kerana LRA Sungai Ganda terus beroperasi walaupun ia terjejas dengan pencemaran arsenik yang mula dikesan oleh Kementerian Kesihatan pada 8 Jan lalu.

Pada 14 Jan, pihak SPAN mengarahkan LRA Ayer Ganda ditutup jika masalah arsenik gagal diatasi, namun pada Februari dan Mac, kementerian sama masih mengesan pencemaran logam itu dalam air terawat yang terus dibekalkan kepada penduduk.

Susulan daripada itu, pada 9 April lalu, SPAN terpaksa mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ayer Ganda dengan serta-merta.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.