Jawatankuasa tangani isu orang tengah bentang keputusan dua bulan lagi


Jawatankuasa khas Kabinet yang disertai lima kementerian bagi menangani isu orang tengah dan pendatang asing di pasar-pasar akan membentang rumusan penyelesaian isu berkenaan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata ketika ini semua ketua setiausaha kementerian terlibat sedang merangka agenda dan mencari terma rujukan bagi mencari penyelesaian terbaik isu itu.


"Selepas itu satu mesyuarat akan diadakan oleh kementerian dan dalam tempoh dua bulan kami akan rumuskan perkara besar (keputusan) dan pendekatan yang perlu diambil bagi kita mendepani dan menyelesaikan isu orang tengah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah pembinaan Agromall di Tapak Pasar Tani Kekal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu 13, Puchong, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Fama Ishak Ismail dan Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak.

Sebelum ini, Salahuddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa Kabinet itu yang melibatkan kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kenaikan harga barang, orang tengah yang mengambil keuntungan berlebihan, kese­lamatan, persaingan peniaga asing dengan peniaga tempatan dan impak­nya kepada pengguna, petani, penternak dan nelayan.

Selain itu jawatankuasa itu turut menimbangkan untuk melesenkan orang tengah bagi mengelak mereka mengenakan harga sesuka hati terutamanya kepada golongan nelayan.

Ini kerana, katanya rangkaian pemasaran sektor perikanan yang panjang ekoran penglibatan orang tengah dilihat tidak menyebelahi golongan nelayan.

“Hingga terdapat isu harga ikan apabila ditolak kepada nelayan hanya RM4, tetapi di atas meja pasar jadi RM8," kata Salahuddin. -- BERNAMA
Powered by Blogger.