FAMA sasar beli 2,393 matrik tan tanaman daripada 149 peserta ladang kontrak tahun ini
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan pembelian sebanyak 2,393 matrik tan tanaman dengan anggaran pengeluaran bernilai RN3.6 juta daripada 149 peserta ladang kontrak tahun ini.
Timbalan Pengarahnya, Mohd Azrul Abd Aziz berkata ia melibatkan tanaman tembikai, jagung dan labu manis dari kawasan ladang kontrak Jabatan Pertanian Terengganu yang dianggarkan berkeluasan 141.70 hektar.
Beliau berkata sehingga Mac lalu, pihaknya telah membeli sejumlah 1762.5 matrik tan tanaman daripada 36 pengusaha ladang kontrak dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3.58 juta.
"Kita jangka nilai belian tanaman tahun ini akan melebihi sasaran yang ditetapkan tahun ini dan juga berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM2.94 juta
"Sebahagian besar peserta ladang kontrak yang menandatangani perjanjian jual beli dengan kita berpusat di setiu kerana faktor kawasan penanamannya luas serta memiliki bilangan petani yang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) di Kampung Padang Garam, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Azrul berkata peserta ladang kontrak tembikai tidak perlu risau dengan risiko berlakunya kejatuhan harga walaupun kadar pengeluarannya mencatat peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Ia kerana Mesyuarat Teknikal Ladang Kontrak bersama MOA yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah menetapkan harga lantai tembikai di paras 80 sen sekilogram bagi memastikan kestabilan harga serta mengelak manipulasi orang tengah.
"Cuaca panas berpanjangan tahun ini mengeluarkan hasil lebih tinggi dan terdapat juga pengeluaran dari negeri lain seperti Pahang dan Johor. Tetapi semua tidak perlu risau kerana kami sudah mengadakan perbincangan bersama 70 outlet FAMA yang ada di seluruh negeri untuk pasarkan tembikai di tempat mereka.
"Selain itu rundingan juga dijalankan dengan pusat operasi FAMA di seluruh negara dan pasaraya besar untuk tujuan pasaran tembikai di premis mereka," katanya. -- BERNAMA
Post a Comment