Aplikasi 'Price Catcher' bantu pengguna jimat berbelanja


“Mudah, jimat masa dan membantu pengguna berbelanja lebih murah,” itu antara reaksi positif pengguna tentang inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membangunkan aplikasi semak harga yang dikenali sebagai ‘Price Catcher’.

Aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi App Store bagi pengguna iOS dan Play Store untuk Android itu berperanan membantu pengguna mencari harga termurah bagi barang keperluan harian menerusi perbandingan harga di premis perniagaan berhampiran kediaman mereka.

Pekerja Sumber Manusia, Halimah Mustafa, 32, berkata aplikasi terbabit sangat membantu beliau berjimat dengan berbelanja di premis yang menawarkan harga lebih ekonomi.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil seperti saya, ia membantu kami mencari kelengkapan bayi pada harga lebih murah, malah menerusi aplikasi ini saya berjaya menemui premis yang menjual setin susu formula bayi pada harga RM2 hingga RM3 lebih murah berbanding biasa,” katanya kepada Bernama.

Peniaga kedai makan, Ahmad Alfian, 33, pula menyifatkan kewujudan aplikasi Price Catcher membantu beliau mengurangkan kos dalam belian harian bagi barang niaga.

“Penjimatan dalam anggaran RM15 hingga RM25 pada setiap pembelian kini sekaligus membantu saya untuk menawarkan harga jualan berpatutan kepada pelanggan di gerai,” katanya.

Kontraktor, Hafiz Fazial, 28, berterima kasih atas inisiatif kerajaan dalam mewujudkan aplikasi Price Catcher sekaligus membuktikan keprihatinan serta kesungguhan dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.

“Aplikasi ini juga menjimatkan masa di mana kita tidak perlu lagi pergi dari satu premis ke premis perniagaan lain hanya kerana untuk melakukan perbandingan harga, sebaliknya segalanya kini boleh didapati di dalam Price Catcher,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.