KDN warta Perintah Larangan penerbitan komik propaganda


Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk 'Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama' serta versi bahasa Inggeris 'Belt & Road Initiative For Win-Winism' dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

KDN menerusi kenyataan berkata, warta Perintah Larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha dan perjuangan tokoh serta pemimpin negara terdahulu memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki apa-apa juga maksud seperti itu melakukan suatu kesalahan yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mengetahui penerbitan mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.