130,000 peluang pekerjaan dalam lapan bulan


Kerajaan berupaya mewujudkan 130,000 peluang pekerjaan, merangkumi pelbagai sektor dalam tempoh kira-kira lapan bulan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata perangkaan yang menunjukkan peningkatan kadar peluang pekerjaan itu dicatatkan antara Jun 2018 hingga Disember 2018.

“Pada Jun 2018, peluang pekerjaan yang tersedia ialah 14.8 juta, namun perangkaan itu meningkat dalam tempoh singkat, iaitu lapan bulan kepada 14.93 juta pada Disember 2018.

“Setiap bulan peningkatan berlaku, justeru kita percaya sasaran kerajaan mewujudkan sejuta peluang pekerjaan tidak akan menjadi masalah untuk dilaksanakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai status pelaksanaan janji kerajaan untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan.

Kulasegaran berkata, pelbagai usaha giat dijalankan menerusi rangkaian institusi, termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memacu daya saing pekerja berkemahiran tinggi di negara ini.

“Kita memang nak mereka dapat pekerjaan yang baik dan memperoleh pendapatan lumayan seperti didambakan.

“Selain itu, kita akan mewujudkan peluang pekerjaan hijau sebanyak 250,000 dalam jangka lima tahun,” katanya.

Berikutan pelbagai kejayaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan, Kulasegaran yakin rakyat kini menaruh kepercayaan kepada kerajaan baharu susulan peralihan tampuk pemerintahan pada 9 Mei tahun lalu.

Kepercayaan itu, katanya, penting bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan rangkaian peluang pekerjaan, sekali gus memacu sosioekonomi golongan sasar. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.