Buruh maut terjatuh, besi tusuk tubuh


Seorang pekerja binaan warga asing maut akibat tertusuk besi binaan di perut selepas terjatuh dari ketinggian 30 meter di tapak pembinaan dekat Jalan Tun Razak, hari ini.


Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Farid Hussin, berkata lelaki warga asing berusia 30-an cedera di bahagian perut akibat tertusuk besi cerucuk bangunan.


"Anggota bomba bertindak mengangkat dan membawa mangsa keluar serta diserahkan kepada pegawai perubatan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.56 pagi.


Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak serta Pudu dengan kekuatan 16 anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.