Tauke shisha, 2 pekerja mengaku tak salah cederakan polis
Seorang tauke shisha bersama dua pekerjanya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian Rabu lalu.
Dalam kejadian itu, dua polis termasuk seorang Inspektor cedera ketika menjalankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Tertuduh, Mohamad Nornasharieq Rosli, 28, dan pembantu kedai makan berkenaan, Mohamad Hamiri Asraf Ab Hamid, 24, serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Mereka didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Nornasharieq didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sekuli sehingga menyebabkan cedera tulang tangan di sebuah bistro di Lembah Sireh di sini, pada 8.15 malam, 14 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Nornasharieq didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada pegawai polis, Indrah Nahu dengan cara menumbuk dan mencakar muka hingga mengalami kecederaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 16 November depan.
Sementara itu, Mohamad Hamiri Asraf dan Mohammad Nor Aizaq turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersama-sama menghalang tugas penjawat awam dengan menghalang pihak polis daripada membuat tangkapan terhadap Mohamad Nornasharieq.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Akta Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka dibenarkan untuk diikat jamin masing-masing RM4,000 dan kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 November depan. -- BERITA HARIAN
Post a Comment