Polis cari suspek pukul wanita



Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memukul seorang wanita di mana kejadian itu dirakam orang awam dan tular menerusi media sosial.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail, berkata siasatan awal mendapati, insiden terbabit dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Jaya 2, Pandan Jaya, dekat Ampang.


"Lokasi kejadian adalah tempat awam. Suspek dan mangsa berkenaan dikatakan mempunyai pertalian darah.


"Setakat ini, tiada saksi awam yang tampil ke balai polis untuk memberi keterangan.


"Usaha mengesan suspek dan mangsa giat dijalankan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18(a) Akta Keganasan Rumah Tangga serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.


Sebelum ini, satu klip video berdurasi 16 saat tular di Facebook, memaparkan pergaduhan antara dua individu berkenaan.


-- Berita Harian

Powered by Blogger.