Cubaan pujuk isteri, nyaris bertukar tragedi



Selepas gagal memujuk isteri yang mengunci diri dalam bilik, seorang suami memaksa isterinya membuka pintu dengan membakar sekeping kertas yang diselitkan di bawah pintu.


Malangnya, kreativiti lelaki berusia 54 tahun itu, membawa padah apabila perbuatan itu mencetuskan kebakaran terhadap kediaman mereka hingga menyebabkan menyebabkan isterinya melecur.



Kejadian di Flat Kepayan Rigde kira-kira jam 11 malam tadi itu, menyebabkan wanita berusia 48 tahun itu melecur di leher dan kini terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Queen II (HQE II) Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan mendapati, mangsa dan suaminya minum minuman keras bersama-sama di rumah berkenaan sejak jam 3 petang semalam.


Beliau berkata, perbuatan itu mencetuskan pertengkaran di antara mereka, sebelum mangsa merajuk dan bertindak mengunci diri di dalam bilik tidur rumah itu.


"Suspek kemudiannya cuba memujuk mangsa untuk membuka pintu bilik, namun isterinya itu berkeras enggan membuka pintu.


"Suspek kemudiannya bertindak membakar sekeping kertas yang diselitkan di ruang bawah pintu bagi menakutkan mangsa supaya keluar dari bilik," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Habibi berkata, difahamkan pada masa sama, mangsa pula meletakkan sehelai kain di ruangan pintu bagi menghalang suspek daripada memasukkan kertas yang dibakar ke dalam bilik.


Katanya, tindakan mereka menyebabkan kebakaran tercetus dalam bilik berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.


"Siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada di rumah itu, manakala anak mereka keluar bekerja.


"Suspek berjaya ditahan di tempat kejadian, pada jam 11.30 malam dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan lanjut," katanya.


Habibi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 435, Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kebakaran dipercayai berlaku pada jam 10.57 malam.


Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.18 malam.


-- BERITA HARIAN

Powered by Blogger.