Cikgu Sam terfikir mahu berhenti selepas tiga bulan bergelar pendidik


Siapa pernah menyangka, finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah pernah berhasrat mahu berhenti daripada menjadi guru hanya tiga bulan selepas memasuki bidang pendidikan. 


Samuel, 33, berkata ketika itu beliau 'merasakan dirinya terlalu bagus' untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Rompin, kira-kira 90km dari sini, yang merupakan sekolah untuk anak-anak Orang Asli.


"Sebagai orang muda yang bercita-cita tinggi, ia seolah-olah membunuh semangat saya apabila dihantar ke sekolah pedalaman, ditambah pula dengan cakap-cakap bahawa tak perlu berlebih-lebih kerana itu hanya anak Orang Asli yang tidak akan pergi jauh.


"Selama tiga bulan saya cuba menyesuaikan diri, bertanyakan pada diri adakah mengajar Orang Asli boleh membantu melonjakkan karier saya? Sehingga akhirnya saya sedar mereka juga sangat istimewa, jika kita sedia mendengar dan menerima mereka sepenuhnya.


"Dari situ, saya tahu anak murid Orang Asli inilah yang lebih banyak mengajar saya tentang kehidupan daripada saya sebagai seorang guru kepada mereka," katanya semasa ditemui di sini, hari ini. 


Samuel, seorang anak jati Kuantan menambah, tanpa sedar beliau akhirnya berkhidmat di sekolah itu selama lapan tahun bermula dari tahun 2012 sehingga hubungan di bilik darjah 'berkembang' kepada ibu bapa dan penduduk kampung Orang Asli di situ. 


Anak kedua daripada empat beradik itu terpaksa berpisah dengan anak muridnya pada tahun 2019 kerana melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepimpinan di State University of New York, Amerika Syarikat (AS). 


Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19, Samuel kembali ke Malaysia pada pertengahan Jun lepas dan kini meneruskan pengajian secara dalam talian, dan dijangka akan kembali ke universiti sekitar Januari tahun depan bagi menghabiskan semester akhir. 


Sepanjang berada di AS, Samuel yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 pada 25 Okt lepas, masih berhubung dengan anak muridnya kira-kira dua kali sebulan menerusi panggilan video dengan bantuan rakan pendidik di SK Runchang.


"Kami ibarat sebuah keluarga. Saya bertanya mengenai pelajaran dan mereka banyak menyoal tentang AS seperti adakah saya telah melihat salji? Mereka adalah anak-anak saya dan setiap tahun, saya mempunyai kira-kira 60 anak tidak termasuk bekas anak murid yang kekal berhubung," katanya tersenyum.


Hubungan erat itu juga mendorong Samuel 'kembali' ke kampung itu dua kali seminggu, biasanya pada Isnin dan Jumaat untuk membantu anak muridnya yang agak ketinggalan disebabkan wabak COVID-19 dengan memberikan kelas tambahan selepas waktu persekolahan. 


Niat beliau untuk membuat kejutan pada hari pertama kembali ke kampung itu pada pertengahan Ogos lepas tidak berjaya, apabila kereta yang dipandunya dikenali penduduk sekitar menyebabkan dia dikerumuni penduduk dan anak muridnya dalam masa singkat. 


"Mereka datang untuk memeluk dan memberikan tepukan ‘high five’. Mereka terlalu seronok melihat saya berada di hadapan mereka dan ingin tahu jika saya akan meninggalkan mereka lagi, selain soalan adakah Runchang atau AS lebih menarik," katanya. 


Ditanya adakah beliau memang bercita-cita menjadi seorang guru, Samuel ketawa kecil dan berkata dirinya boleh diibaratkan memberontak apabila memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang bahasa, berbanding hasrat orang tuanya yang mahu beliau bergelar doktor atau jurutera. 


Bidang bahasa, menurut Samuel lebih sesuai dengan minatnya yang sukakan muzik dan kesusasteraan, bagaimanapun beliau mengakui minat mengajar tidak timbul langsng dalam diri beliau walaupun semasa berada di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada 2005, sehinggalah beliau menjejakkan kaki di SK Runchang. 


Mengulas mengenai kejayaannya tersenarai sebagai 10 finalis daripada lebih 12,000 guru di seluruh dunia, Samuel menyifatkan penghormatan itu adalah untuk anak muridnya dan ibu bapa mereka yang kerap menyokongnya walaupun semasa beliau melakukan perkara baharu seperti menggunakan ukulele dalam kelas. 


"Mereka membuka mata saya dalam bidang pendidikan dan lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu Orang Asli dalam pendidikan. Berada dalam senarai 10 terbaik ini adalah pengiktirafan kepada mereka yang membolehkan seorang guru pedalaman seperti saya dikenali di peringkat antarabangsa," katanya. 


Walaupun menyedari dirinya berdepan laluan sengit dengan kehebatan finalis lain, Samuel berkata beliau berhasrat menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk meningkatkan aspek sosial Orang Asli termasuk aspek pendidikan, jika menerima anugerah yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.16 juta) itu.


-- BERNAMA 

Powered by Blogger.