Satu lagi tugas mencabar bagi Sarawak anjur sambutan Hari Malaysia


Sarawak bakal menjadi tumpuan sekali lagi sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dan walaupun mendapat penghormatan kerana kali kedua berturut-turut menganjurkannya, ia tetap tugasan yang mencabar kerana Sarawak kini berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ketika menganjurkan acara itu pada tahun lepas, negeri itu dilanda jerebu rentas sempadan menyebabkan lokasinya ditukar dari Padang Merdeka di pusat bandar Kuching ke Stadium Tertutup Sarawak di Petra Jaya.  

“Keputusan untuk menukar tempat dilakukan di saat-saat akhir dan harus dilakukan disebabkan masalah jerebu. Tahun ini, ia akan diadakan di Sibu dan kali ini kita berdepan pula dengan pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini.

Beliau berkata seperti sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang diadakan di bandar Simanggang, kira-kira 187km dari sini Isnin lepas, sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini juga akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan COVID-19.

“Kita tidak seharusnya memandang remeh terhadap ancaman COVID-19. Status di setiap daerah boleh berubah dalam sekelip mata,” katanya menambah ancaman itu tidak harus melunturkan semangat rakyat untuk meraikan hari yang penting itu.

Abdul Karim juga memuji Jabatan Penerangan kerana menganjurkan program Merdeka@Komuniti yang turut mengadakan taklimat mengenai isu-isu semasa serta program Info on Wheels (IoW) Merdeka yang dapat menyuntik semangat patriotisme selain memberi maklumat kepada masyarakat.

Katanya beliau benar-benar ‘terasa kehilangan’ jabatan itu dalam tempoh 22 bulan (di bawah kerajaan Pakatan Harapan) kerana tiada penglibatan jabatan itu dalam program anjuran kerajaan negeri sebelum ini.

“Memandangkan tempoh ini telah berakhir, marilah kita berdoa agar Kerajaan Persekutuan dan negeri, terus menikmati hubungan yang baik dan berkekalan,” tambahnya.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.