Angkara elak pokok tumbang, isteri maut suami cedera


Cubaan seorang lelaki mengelak pokok tumbang mengakibatkan beliau cedera manakala isterinya maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh besi penghadang jalan.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi di Jalan Belimbing di sini, Nor Farisnazira Mohd Zulnorisham, 21, yang cedera di bahagian kepala, membonceng motosikal ditunggang suaminya Mohamad Helmi Ashraf Mohd Lela, 23.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata ketika kejadian kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felcra Sri Makmur, Kuantan.

"Motosikal ditunggang lelaki bersama isterinya cuba mengelak ke kiri jalan tetapi terbabas lalu melanggar besi penghadang sebelah kiri arah Sri Makmur.

"Akibat kemalangan itu, mangsa di bawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut di bawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kamarulzaman turut berkata, selain pasangan suami isteri terbabit, dua lelaki masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal turut cedera kerana melanggar pokok tumbang berkenaan.

"Mangsa yang cedera ialah penunggang motosikal, Muhammad Abdul Fatah Kaha, 18, bersama rakannya, Muhammad Nazrul Hakim Aminuddin, 17, dari Maran yang dalam perjalanan balik ke rumah mereka di di Felcra Sri Makmur.

"Keduanya turut dibawa ke HoSHAS Temerloh untuk diberi rawatan," katanya.

Powered by Blogger.