Budak 13 tahun 'orang tengah' jual syabu ditahan


Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berperanan sebagai 'orang tengah' dalam aktiviti penjualan syabu ditahan di Kampung Delima, di sini, semalam.

Remaja berstatus bukan warganegara itu ditahan susulan maklumat dan risikan polis dengan pemeriksaan dilakukan menemui enam paket syabu seberat 5.74 gram dianggar bernilai RM574 dalam milikannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, mengesahkan penangkapan remaja terbabit.

Beliau berkata, soal siasatan dilakukan remaja terbabit mengaku menerima upah hasil daripada penjualan syabu berkenaan di sekitar kampung berkenaan.

"Berdasarkan semakan remaja terbabit turut dikehendaki kerana pernah melarikan diri daripada Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal pada 12 April lalu.

"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras kegiatan dadah bagi menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan bagi membantu polis membanteras jenayah ini dengan lebih berkesan.

Powered by Blogger.