Mayat berulat dalam semak ditemui


Hasrat seorang pekerja kontrak membuang air kecil dalam semak terbantut apabila dia ternampak satu mayat yang sudah berulat di simpang hadapan Pantai Cahaya Negeri, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pada jam 4.30 petang semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat penemuan satu mayat berulat di dalam semak di simpang hadapan Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.

"Individu yang menjumpai mayat itu seorang pekerja kontrak. Dia memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan mayat itu yang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mayat ditemui dalam keadaan berulat itu dipercayai telah mati dalam tempoh beberapa hari berdasarkan keadaannya.

"Butiran mayat lelaki itu tidak dapat dipastikan lagi kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui," katanya.

Aidi Sham berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.

"Mayat kemudiannya di bawa ke Hospital Port Dickson untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Beliau meminta mana-mana individu yang kehilangan saudara-mara untuk tampil ke IPD bagi membantu siasatan.

Powered by Blogger.