Maut dihempap besi takal jatuh dari kren


Seorang pengajar sekolah memandu maut manakala ibunya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki dihempap besi takal yang terjatuh dari sebuah kren di Kilometer 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat sini, malam tadi.

Pemandu kereta, Mohd Faizal Ismail, 38, dari Felda Jengka 6 di sini, maut di tempat kejadian manakala ibunya Fatimah Mat Hussain, 72, yang berada di tempat duduk penumpang depan, parah dalam kemalangan itu jam 9.45 malam.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan mendapati Faizal yang memandu Perodua Axia milik sekolah memandu bersama ibunya dalam perjalanan dari Temerloh ke Maran ketika kemalangan itu.

Besi takal dipercayai terjatuh ketika kren bergerak sebelum menghempap kereta mangsa.

Difahamkan, kereta mangsa berada di belakang kren dan takal itu jatuh menghempap bumbung dan cermin depan kereta.

Bumbung kereta kemek dan pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ibu mangsa pula cedera di kepala, patah pergelangan tangan kiri dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

Kamarulzaman berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi balai polis terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian kerana kecuaian.

Powered by Blogger.