PM bayangkan kepayahan pelaksanaan semula 'lockdown'


Bimbang dengan kes positif COVID-19 yang kembali mencatatkan angka dua digit di negara ini sejak akhir-akhir ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan kepayahan yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara sekiranya ‘lockdown’ (sekatan pergerakan) dilaksanakan semula susulan peningkatan kes dengan mendadak.

Perdana Menteri berkata rakyat tidak boleh ambil mudah dengan perkembangan semasa yang menyaksikan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika mereka menikmati kehidupan yang kembali hampir normal ketika ini.

“Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan ‘lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP yang disiarkan televisyen tempatan.

"Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan ‘lockdown’ seperti itu,” katanya.

Muhyiddin berkata sekiranya kerajaan menguatkuasakan kembali ‘lockdown’, ia akan meninggalkan kesan yang amat besar terutama kepada ekonomi dan negara akan kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari, secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Selain itu ia akan menidakkan usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

“Harus diingat bahawa kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah banyak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat menghadapi kesan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata sehingga hari ini sejumlah RM11.14 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional manakala 7.7 juta pengguna menerima diskaun 50 peratus bayaran bil elektrik dan 65 peratus isi rumah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai keseluruhan RM38.4 bilion.

Subsidi upah kerajaan bernilai RM7.4 bilion memberi manfaat kepada 6.7 juta pekerja dan 834,000 majikan, katanya.

“Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja,” kata Muhyiddin.

Selain itu, lebih 800,000 perniagaan termasuk perniagaan mikro dan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menerima manfaat dariapda pakej rangsangan tersebut.

Rakyat melalui tempoh PKP sejak 18 Mac lalu dengan kira-kira tiga bulan mereka tidak boleh keluar rumah atau pergi bekerja kecuali bagi mendapatkan keperluan barangan makanan atau bertugas di sektor perkhidmatan penting.

Bagaimanapun, sejak PKPP diperkenalkan 10 Jun dan kelonggaran diberikan kepada hampir semua sektor, ada kalangan rakyat kelihatan alpa sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Muhyiddin menegur malah ada yang berjabat tangan dan berpeluk-pelukan ketika bertemu sahabat handai dan sanak saudara.

 Beliau berkata sekiranya ‘lockdown’ terpaksa dikuatkuasakan semula, unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun depan mungkin tidak tercapai dengan perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran boleh meningkat mendadak.

“Jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19,” katanya.     

Memandangkan terdapat juga peningkatan kes import susulan rakyat Malaysia kembali ke tanah air, Muhyiddin berkata kerajaan mungkin akan menempatkan mereka di pusat kuarantin bagi mengawal kes import dengan lebih berkesan.

Beliau memberi amaran penguatkuasaan undang-undang akan dipertingkatkan dengan denda yang lebih berat dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan penularan pandemik tersebut.  

-- BERNAMA
Powered by Blogger.