Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam renang


Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas dalam kolam renang dewasa sebuah resort di Pantai Merdeka, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, mangsa didakwa dibawa ke resort berkenaan oleh ibunya yang berusia 19 tahun untuk meminta kerja.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata semasa menunggu keputusan temuduga, wanita terbabit menyedari anaknya tiada bersamanya.

"Sebelum itu, wanita terbabit mendakwa melepaskan anak sulung dari dua beradik itu bermain di sekitar kawasan beliau ditemuduga.

"Beberapa minit kemudian, dia mendapati anaknya hilang dari tempat berkenaan dan bertindak mencari mangsa sebelum menjumpai anaknya sudah terapung di dalam kolam itu dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, wanita terbabit mendakwa dia hanya menyedari anaknya hilang selepas hampir setengah jam dia berbual dengan staf resort berkenaan.

Beliau berkata, pihak hotel segera menghubungi ambulans dan mangsa terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk menerima rawatan lanjut.

Setibanya di hospital, katanya, doktor mengesahkan kematian mangsa semasa berada di dalam kolam.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati jarak antara tempat temuduga dengan kolam berkenaan dalam lingkungan 30 meter dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.