Polis maut ketika pulang Ops COVID


Seorang anggota polis yang baru pulang dari Ops Covid maut dalam kemalangan di Jalan Kedondong, Pokok Sena, hari ini.

Anggota terbabit, Koperal Zamansari Abd Rahim@ Shafii, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata mangsa yang bertugas di Balai Polis Kepala Batas, di sini dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Nerang.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dikatakan pulang menggunakan laluan Bukit Pinang ke Pokok Sena menuju ke rumahnya.

"Kita percaya kemalangan berlaku awal pagi selepas mangsa pulang dari kerja jam 3 pagi namun mayatnya ditemui sekitar jam 7.30 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa terseret hingga ke kanan jalan namun tiada kesan kenderaan lain dilaporkan di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Berita Harian
Powered by Blogger.