Guna pas barisan hadapan isteri, didenda RM1,000


Tindakan seorang pengurus restoran makanan mengambil gambar menggunakan pas barisan hadapan isterinya untuk melepasi sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga tular, membawa padah apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali turut memerintahkan Mohd Shukri Salim, 34, menjalani tambahan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mohd Shukri dijatuhi hukuman denda selepas mengaku bersalah bergerak dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Medan Putra, Alor Setar, Kedah ketika fasa ketiga PKP.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa bergerak dari Jalan Pasar, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menuju ke Domino's Pizza Medan Putra, Alor Setar, Kedah, jam 11.30 pagi, pada 16 April lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Shah Rizal Abdul Manan, memohon dijatuhi hukuman denda ringan dengan alasan sudah memberikan kerjasama ketika siasatan dan hadir ke mahkamah hari ini dari Pulau Pinang.

"Anak guam saya sudah insaf dan memohon maaf atas perbuatannya," katanya.

Bagaimanapun, rayuan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid, yang memohon hukuman setimpal maksimum terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor perbuatannya yang dilihat sengaja ingin melanggar PKP.

"Ketika majoriti rakyat Malaysia yang lain masih patuh untuk duduk di rumah, tindakan tertuduh dianggap ingin menggagalkan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19," katanya.
Powered by Blogger.