Leka bungkus dadah dicekup polis


Empat lelaki leka membungkus dadah untuk diedarkan kepada penagih dicekup polis di Kampung Tanjung di sini, hari ini.

Dalam serbuan 12.01 tengah malam itu, tokan berusia di antara 21 dan 29 tahun terpinga-pinga ketika ditahan dalam rumah berdasarkan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika pemeriksaan dilakukan, empat suspek duduk atas lantai sambil membungkus dadah.

"Menyedari kehadiran polis, mereka kemudian bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh anggota polis, namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis heroin seberat 38.22gram (g) dan syabu seberat 0.33g di atas lantai," katanya ketika dihubungi,di sini.

Mohd Iqbal berkata, semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

"Ujian saringan air kencing turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin.

"Soal siasat ke atas suspek mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang wanita dikenali Mas di sebuah rumah kosong di kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman dan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber: Berita Harian
Powered by Blogger.