Dadah RM7.2 juta dirampas, 7 ditahan


Polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan lebih 100 kilogram dadah bernilai RM7.2 juta.

Rampasan terbesar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat itu juga membabitkan penahanan tujuh orang ahli sindiket yang berusia antara 24 hingga 44 tahun membabitkan tiga warga Indonesia dan empat rakyat tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata polis merampas pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhannya 112.7 kilogram (kg).

Beliau berkata, ia membabitkan dadah jenis syabu seberat 80.87 kg dan pil ecstasy seberat 31.8 kg, yang dipercayai untuk diedarkan atau dipasarkan di Indonesia serta satu gram ganja, dipercayai untuk kegunaan anggota sindiket itu sendiri.

Katanya, kejayaan itu susulan empat serbuan secara bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor bermula 9 Mei pada jam 1 pagi hingga 14 Mei jam 8.30 malam.

"Empat daripada ahli sindiket didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

"Kita percaya sindiket ini telah beroperasi lebih kurang 10 bulan dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan saki baki kumpulan ini," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Ramli berkata, dadah berkenaan yang dimasukkan ke dalam guni dirampas di kawasan tepi laut di kawasan Teluk Kemang.

Menurutnya, polis juga percaya sindiket terbabit berhasrat menghantar dadah berkenaan ke Indonesia melalui jalan laut untuk dipasarkan kerana harga yang tinggi iaitu lebih dua atau tiga kali ganda berbanding di negara ini.

"Polis turut menyita kenderaan dan peralatan yang digunakan ahli sindiket membabitkan empat buah kereta Proton Ixora, Proton Waja, Perodua Viva, satu bot gentian kaca bersama enjin dan tujuh keping emas seberat 82.5 gram serta wang tunai berjumlah RM3,000.

"Nilai keseluruhan barangan yang disita sebanyak RM164,045. Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 21 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah serta Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Ibrahim dalam sidang media sama berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian Ops Banting yang dilancarkan baru-baru ini dan juga satu kerjasama strategik antara PDRM dan Maritim Malaysia untuk membanteras kegiatan penyeludupan melalui jalan laut.

Beliau berkata, kejayaan operasi ini juga adalah hasil aktiviti pengesanan yang dilakukan apabila pihaknya berjaya mengesan bot berkenaan dan menahan tiga warga Indonesia yang juga terbabit dengan aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI). - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.