Warga emas ditahan edar dadah
Perbuatan mencurigakan seorang warga emas membawa kepada penemuan 50 biji pil dipercayai dadah selepas dia ditahan polis di Kampung Alur Tembesu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata suspek berusia 60 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.40 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun yang melakukan rondaan Ops Covid-19, terserempak dengan suspek di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika ditahan, suspek enggan memberi kerjasama dan berlaku pergelutan sebelum polis membuat pemeriksaan badan suspek.
“Pemeriksaan di poket belakang seluar suspek menemui kotak rokok di dalamnya berisi 50 biji pil dipercayai dadah, “katanya.
Baharudin berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui empat straw yang berisi pil dan serbuk kristal yang dipercayai dadah serta wang tunai RM365 dipercayai hasil jualan dadah.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut dan semakan polis mendapati dia mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan dadah,” katanya.
Suspek adalah penduduk tempatan dan ketika tangkapan dia dipercayai menunggu pelanggan untuk menjual dadah terbabit.
“Suspek disiasat mengikut seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020, “katanya. - BERITA HARIAN
Post a Comment