Agong zahir keprihatinan terhadap ekonomi, kesejahteraan rakyat


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mendengar sendiri langkah yang dilaksana kerajaan bagi menangani impak COVID-19 terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata menerusi sidang video selama 30 minit di Istana Negara petang ini, Seri Paduka berkenan mengambil maklum mengenai peranan MITI dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kementerian itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19 sejak 18 Mac lepas.

“Sesi hari ini mencerminkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap langkah-langkah yang telah diputuskan dan dilaksanakan oleh kerajaan demi mengimbangi kesihatan rakyat dan pada masa sama bertanggungjawab menangani kesan kepada ekonomi negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan sokongan terhadap langkah-langkah tersebut, khususnya usaha-usaha memastikan bekalan makanan dan keperluan asas untuk rakyat mencukupi dan tidak terputus sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Sesi sidang video bersama Mohamed Azmin, yang juga Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), adalah yang ketiga bersama menteri Kabinet semasa PKP selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengambil maklum dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 ke atas ekonomi dan pasaran buruh yang diterajui bersama oleh MITI dan Kementerian Pertahanan.

Al-Sultan Abdullah amat menghargai keputusan tersebut kerana kerajaan perlu menangani kesan COVID-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Memberi perhatian terhadap impak COVID-19 kepada kedudukan dan prestasi ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP yang menyebabkan banyak sektor pembuatan dan perkhidmatan tidak beroperasi, Ahmad Fadil berkata: “Seri Paduka Baginda turut prihatin terhadap kesan pandemik ini kepada industri kecil dan sederhana (IKS) serta nasib para pekerja di negara ini.”

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 1.5 juta pekerja dan majikan dalam sektor dan industri yang dibenarkan beroperasi semasa PKP untuk mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan bagi sektor masing-masing oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi penguatkuasaan. 

Setiap majikan dan pekerja dinasihati tidak mengambil sikap sambil lewa dalam mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan untuk mengelakkan pertambahan kluster-kluster jangkitan COVID-19 yang baharu.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan dapat membantu mengurangkan impak kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda amat memahami situasi yang dihadapi oleh semua pihak, termasuk rakyat, susulan daripada pelaksanaan PKP yang telah memasuki minggu keenam ini.

“Justeru, Seri Paduka menyeru kepada semua untuk terus bersabar dan tabah mengharungi situasi ini sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

-- BERNAMA 
Powered by Blogger.