Teknologi 5G TM sediakan penyelesaian pertanian pintar


Sayur salad yang lazimnya ditanam di kawasan tanah tinggi dan sejuk, kini boleh hidup subur di kawasan yang panas, malahan lebih menarik tanaman sayuran tersebut diusahakan di dalam kontena!

Itu antara kejayaan yang diperolehi hasil pelaksanaan kes penggunaan projek demonstrasi 5G (5GDP) yang sedang dijalankan Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam Kluster Pertanian Pintar, di pulau ini sejak Oktober.

Pengarah Penyelesaian Baharu dan Inovasi TM ONE, Azrin Aris berkata penggunaan teknologi 5G membolehkan tiga perkara utama dicapai, iaitu kelajuan tinggi, masa pegun yang rendah serta keupayaan menghubungkan lebih banyak peranti dalam satu-satu masa.

Katanya berikutan itu, teknologi yang dibangunkan syarikat telekomunikasi tersebut, berjaya membuatkan enam jenis sayuran tanah tinggi kini hidup subur di dalam kontena, yang diletakkan di kawasan parkir Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.

"Pertanian Pintar menawarkan pemaparan tunggal dan pengawasan masa nyata yang memberikan informasi berkaitan parameter utama persekitaran dalaman seperti suhu, kelembapan, keamatan cahaya dan beberapa parameter tumbuhan yang kritikal dan perlu keputusan pantas dalam memastikan keadaan yang optimal untuk pertumbuhan.

“Pertanian Pintar yang dibangunkan TM ini turut bersepadu dengan sistem automasi bagi memastikan parameter utama tumbuhan seperti cahaya, persekitaran dan keperluan nutrien tanaman berada pada tahap opitmal, tanpa perlu pergi ke tapak untuk mengawalnya secara manual,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Azrin berkata selain Langkawi, pelaksanaan kes penggunaan pertanian pintar turut dilaksanakan di beberapa lokasi di Selangor, menyaksikan kira-kira 35 jenis sayuran telah berjaya ditanam.

"Daripada 35 jenis sayuran itu, enam jenis antaranya Green Coral, Boston Lettuce, Green Coral dan Red Fire Lettuce ditanam di dalam kontena di Langkawi ini. Pasti ramai bertanya kenapa kontena Di dalam kontena kita boleh mengawal persekitaran, bila boleh mengawal membolehkan sayuran tanah tinggi atau sayuran yang sering di import dari luar boleh ditanam di negara ini.

“Kenapa itu inovasi ini penting Ini kerana TM menyokong aspirasi negara untuk mengurangkan pengaliran wang menerusi import dengan membeli sayuran dari luar negara.

“Penggunaan kontena juga membolehkan pertanian pintar dilaksanakan secara ‘mobile’, ini bererti kita boleh tanam di mana-mana sahaja yang akan turut mengurangkan kos penghantaran dan seterusnya pengguna memperolehi sayuran segar terus dari ladang pintar," katanya.

Selain itu menurut Azrin, pertanian pintar turut berjaya meningkatkan produktiviti sayuran yang ditanam di dalam persekitaran yang terkawal.

"Jangka masa sayuran matang dan boleh dipetik sama, cuma apa yang berbeza di dalam persekitaran terkawal ini, serangan serangga dapat dikawal seterusnya produktiviti pengeluaran dapat ditingkatkan dengan peratus yang sangat tinggi.

“Teknologi 5G ini dapat membantu kita menyelia setiap parameter yang perlu seperti suhu, nutrien dan karbon dioksida, semuanya kita boleh awasi untuk pastikan keluaran sayuaran pertanian pintar pada tahap maksimum," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.